Alamat: Masjid Al-Makmur Sungai Lalang 08000 Sungai Petani Kedah D.A Email: masjidalmakmursglalang@gmail.com
Kutipan Dana Pembinaan Semula Masjid Al-Makmur Sg Lalang
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
Masjid Al-Makmur Sg Lalang dalam proses mencari dana untuk pembinaan semula. Bangunan Masjid yang sekarang sudah agak uzur.
JAWATANKUASA PEMBANGUNAN MASJID AL-MAKMUR SUNGAI LALANG.
BANK ISLAM CAWANGAN SG PETANI
02-020-01-004726-0
Jazakumullah-hu-ahsanal-Jaza kepada Tuan / Puan yang menyumbang untuk pembangunan Masjid Al-Makmur Sg Lalang.
Jumaat, 2 Mac 2012
Imarahkan Masjid...
Ibu bapa, masyarakat pikul tanggungjawab bimbing remaja elak hanyut gejala sosial
IMARAH membawa erti memakmurkan atau membangunkan sesuatu dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. Menurut tafsiran ulama, mengimarahkan masjid membawa dua maksud.
Pertamanya membina, memelihara dan memperbaikinya jika perlu dan keduanya membawa maksud mengunjunginya sebagai suatu amalan lazim untuk menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di samping aktiviti lain ke arah melahirkan pengabdian kepada Allah.
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang melakukan amal ibadat di masjid kerana mereka hampir dengan Allah. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengimarahkan masjid adalah orang yang dekat dengan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bazzaar)
Peliknya, kita menjadi emosi apabila ada pihak meruntuhkan masjid seperti berlaku di negara yang ditakluk musuh Islam tetapi tidak pula marah apabila umat Islam sendiri mengosongkan masjid yang seni binanya indah mempesonakan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hanya yang berhak memakmurkan masjid Allah ialah orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang yang mendapat petunjuk.” (Surah At-Taubah, ayat 18)
Sejarah merekodkan, pada Isnin, 8 Rabiul awal tahun ke-14 kerasulan Nabi (tahun pertama hijrah), Baginda yang tiba di Quba’ sempat mengasaskan Masjid Quba’ dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama diasaskan atas dasar takwa selepas Baginda SAW menjadi nabi.
Rasulullah SAW menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah akan membangunkannya rumah di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga ketika memasuki kota Madinah secara rasmi pada 12 Rabiulawal tahun pertama Hijrah, antara perkara pertama dilakukan Baginda ialah mendirikan Masjid Nabawi sebagai tempat solat, pusat pengajian ilmu, pusat pentadbiran, pangkalan tentera dan pusat mengatur segala gerakan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana saja daripada suatu masyarakat yang berkumpul daripada rumah Allah (masjid), membaca dan belajar kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, mereka akan didampingi oleh malaikat, diliputi rahmat dan Allah akan mengingat mereka pada makhluk yang berada disisi-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Golongan muda perlu digalak mengimarahkan masjid khususnya dalam usaha menggalakkan rakan mereka turut serta dalam apa juga aktiviti dianjurkan pengurusan masjid. Pada masa sama, gabungan golongan muda dan dewasa boleh menghasilkan program lebih hebat.
Golongan muda perlu dibimbing bagi membolehkan mereka mengasah kemampuan di jalan yang betul. Pendekatan kepada golongan muda perlu dijalankan bagi melahirkan golongan yang berkaliber dan berwibawa.
Ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu bekerjasama bagi membimbing dan memimpin golongan muda ini supaya mereka tidak mudah terpedaya dan hanyut bersama nafsu gelora dunia semata-mata.
Baginda Rasulullah SAW begitu mengasihi generasi muda seperti diriwayatkan Sahl bin Sa’ad, Rasulullah SAW mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak muda manakala di sebelah kiri berada orang tua.
Baginda menyapa anak muda itu: “Wahai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu? Anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, saya tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaan saya (berada) di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Remaja dan belia mempunyai peranan yang relevan dalam mengimarahkan institusi masjid di samping membantu membangunkan masyarakat setempat. Mereka yang terpelajar boleh melaksanakan program pembimbing rakan sebaya (PRS) dan rakan komunikasi mesra belia.
Sebenarnya golongan muda yang berkebolehan dan cukup terlatih ini bersedia menghulur khidmat untuk membangunkan peralatan ini dan bertindak sebagai pengemudinya jika diminta bantuan mereka.
Kalangan mereka juga mesti mempunyai sifat ithar (memberi keutamaan kepada saudara seagama lebih dari diri sendiri ketika diperlukan). Apa saja sumbangan mestilah diniatkan kerana Allah demi kepentingan agama.
Alangkah ruginya agama dan ummah apabila kemahiran dan kebolehan golongan muda dalam bidang teknologi maklumat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu mengimarahkan masjid setempat tidak dimanfaatkan.
Daripada Abu Hurairah menyebut bahawa Nabi bersabda “Siapa yang datang ke masjidku ini, iaitu belajar ilmu atau mengajarkannya, maka sesungguhnya kedudukannya sama seperti seorang mujahid (pejuang) di jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sasaran keutamaan pencapaian kita akan gagal jika sekadar bercakap hal kecantikan dan hiasan masjid semata-mata atau menceritakan kehebatan masjid berdasarkan sejarah keagungan Islam lalu, tanpa sebarang usaha mengimarahkan masjid.
Usaha berterusan mestilah dibuat untuk memperkasakan masjid serta menjadikannya sebagai institusi pendidikan dan sosial yang kental.
Alangkah bertuahnya Muslim di negara ini seandainya ada pihak yang bersetuju melaksanakan Pertandingan Imarah Masjid (PERMAI) Peringkat Negeri dan Kebangsaan sebagai acara tahunan bagi membantu menjayakan misi umat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi tunjuk kepada kebaikan sama dengan yang mengerjakannya.” (Hadis riwayat Ar-Tirmizi)
Sumber: Berita Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan