Kutipan Dana Pembinaan Semula Masjid Al-Makmur Sg Lalang

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
Masjid Al-Makmur Sg Lalang dalam proses mencari dana untuk pembinaan semula. Bangunan Masjid yang sekarang sudah agak uzur.

Kepada Tuan / Puan yang ingin memberi sumbangan dan sedekah boleh menyumbang untuk pembangunan Masjid Al-Makmur Sg Lalang. Sumbangan Tuan / Puan boleh terus masukkan ke dalam akaun :

JAWATANKUASA PEMBANGUNAN MASJID AL-MAKMUR SUNGAI LALANG.

BANK ISLAM CAWANGAN SG PETANI
02-020-01-004726-0

Jazakumullah-hu-ahsanal-Jaza kepada Tuan / Puan yang menyumbang untuk pembangunan Masjid Al-Makmur Sg Lalang.

Rabu, 2 Januari 2013

Fatwa-fatwa Kebangsaan Berkenaan Munakahat (Perkahwinan) dan Anak Tidak Sah Taraf


1) Hukum Talak Melalui SMS  
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Aug 2003 telah membincangkan Penceraian Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.
     
  2. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut.
     
  3. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.
2) Hukum Akad Nikah Menerusi Vedio (Vedio Conference)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.
Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :
  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

3) Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah

Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pesaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

4) Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah)
Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

5) Anak Luar Nikah
  1. Jika seorang bayi dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut. 
  2. Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut. 
  3. Wajib bagi suami tersebut menafikan bahawa bayi berkenaan adalah anaknya. 
  4. Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau menbintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang meyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan